Amalan Zakat

Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. (Surah at-Taubah, Ayat: 103).

Home Top Ad

Q – Bilakah patut saya membayar zakat pendapatan ? A- Zakat pendapatan dan harta boleh dibayar pada bila-bila masa dalam masa setahun. Wa...


Q – Bilakah patut saya membayar zakat pendapatan ?

A- Zakat pendapatan dan harta boleh dibayar pada bila-bila masa dalam masa setahun. Walaubagaimanapun, kebanyakan individu menetapkan untuk membayar zakat dalam bulan Ramadhan setiap tahun untuk mendapatkan ganjaran berganda dan supaya individu tersebut tidak lupa !

Zakat juga boleh dibayar secara berkala sepanjang tahun. Contohnya gaji untuk bulan Rejab tahun ini dibayar zakatnya pada Rejab tahun berikutnya, gaji pada bulan Sya’ban tahun ini dibayar zakatnya pada Sya’ban tahun berikutnya, dan seterusnya.

Q – Bolehkan saya membayar zakat sebelum cukup setahun (haul)?

A- Ya, anda boleh membayar zakat sebelum tempoh haul.

Q – Saya menerima sejumlah wang yang agak besar berbanding pendapatan biasa saya pada tahun ini. Bagaimanakah sepatutnya saya mengira tempoh (haul) bagi rezeki tambahan ini ?

A- Terdapat dua cara anda boleh menentukan jumlah zakat anda ke atas rezeki tambahan ini:

i) Anda boleh terus menambah terus rezeki tambahan tersebut kepada jumlah pendapatan tahunan anda. Dengan cara ini anda seolah-olah telah memiliki pendapatan tambahan ini sepanjang tahun. Ini adalah cara yang mudah, praktikal, dan digalakkan.

ii) Anda boleh mempunyai tahun zakat yang berlainan untuk harta tambahan ini. Contohnya jika anda membayar zakat dalam bulan Ramadhan setiap tahun dan menerima rezeki tambahan dalam bulan Zulkaedah pada tahun ini. Maka zakat ke atas rezeki tambahan ini dibayar berasingan pada bulan Zulkaedah tahun berikutnya.

PENGIRAAN

Q – Bagaimanakan cara saya mengira kadar zakat pendapatan ?

A- Terdapat tiga cara anda boleh mengira zakat:

i) 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (ini adalah yang terbaik dan digalakkan)

ii) 2.5% atas pendapatan setelah ditolak perbelanjaan asas yang dibenarkan oleh badan berkuasa agama (rujuk keterangan di bawah*)

iii) 2.5% atas pendapatan setelah ditolak perbelanjaan tanggungan sebenar

* Perbelanjaan asas (setahun) yang dibenarkan : contoh bagi Negeri Selangor & Pahang – Diri Sendiri RM8,000. Isteri RM3,000. Anak RM1,000 (bagi setiap anak).

Contoh: Anda mempunyai seorang isteri dan dua orang anak di bawah tanggungan. Jumlah gaji anda setelah dicampur pendapatan lain (sewa rumah, elaun, bonus, etc) adalah RM5,000 sebulan. Maka jumlah pendapatan yang dikenakan zakat adalah RM47,000 [ (RM5,000 x 12 bulan) – RM8,000 – RM3,000 – (RM1,000 x2) ]. Maka jumlah zakat yang perlu dibayar adalah RM1,175 ( 2.5% x RM47,000).

Q – Setelah dicampur dengan pendapatan isteri jumlah pendapatan bersama kami adalah RM90,000 setahun. Bolehkan saya membayar zakat untuk pendapatan bersama sekaligus ?

A- Zakat adalah kewajiban individu. Perkiraan mestilah dibuat menurut pendapatan dan perbelanjaan masing-masing. Walaubagaimanapun, anda boleh menunaikan zakat untuk pasangan anda sekiranya dia bersetuju.

Q – Sekiranya saya dan isteri kedua-duanya menanggung anak-anak bagaimanakah cara penolakan untuk perbelanjaan mereka bagi tujuan kiraan zakat ?

A- Perbelanjaan untuk anak-anak akan dibahagikan sama rata antara suami isteri atau mengikut kadar bahagian yang dibelanjakan (proportionate to the expenses borne).

Q – Bolehkah caruman KWSP dan SOCSO ditolak daripada pengiraan pendapatan untuk zakat ?

A- Boleh ditolak. Untuk KWSP,wang caruman yang disimpan tidak wajib dizakat kerana belum sempurna milik dan si pencarum tidak dapat menggunakan wang tersebut. Walaubagaimanapun zakat perlu dibayar serta merta apabila dikeluarkan sekiranya cukup nisab untuk apa sahaja tujuan.

Q – Saya sedang melanjutkan pelajaran ke luar negara manakala gaji saya di Malaysia masih berterusan. Adakah saya perlu membayar zakat pendapatan untuk gaji tersebut? Bagaimana dengan elaun pengajian yang diterima di luar negara?

A- Elaun dan gaji, kedua-duanya dikira seperti zakat pendapatan dan dikenakan zakat.

Q – Saya memiliki beberapa rumah sewa. Adakah saya wajib mengeluarkan zakat hasil kutipan sewaan, sedangkan pada masa yang sama saya juga perlu membayar hutang rumah kepada bank semasa pembelian rumah tersebut?

A- Hanya lebihan daripada baki sewa selepas ditolak bayaran balik hutang akan dimasukkan dalam kiraan pendapatan untuk zakat. Contohnya sewa bulanan adalah RM1,000 dan bayaran balik pinjaman adalah RM800. Hanya RM200 baki daripada sewaan perlu dimasukkan dalam pengiraan zakat pendapatan.

SIMPANAN

Q – Saya mempunyai 2 simpanan khusus untuk menunaikan haji dan membeli rumah, dan satu simpanan umum untuk kegunaan luar jangkaan (kontigensi) . Perlukan saya membayar zakat atas simpanan ini ?

A- Ya, anda perlu membayar zakat atas kesemua simpanan di atas. Walaubagaimanapun, sekiranya anda menyimpan di Tabung Haji, agensi tersebut akan membayarkan zakat bagi pihak anda. Jadi anda tidak perlu membayar zakat dua kali.

Q – Sekiranya saya telah membayar zakat pendapatan, adakah saya masih wajib membayar zakat atas simpanan saya? Bukankah simpanan tersebut datang daripada sumber yang sama ?
A- Ya, anda masih wajib membayar zakat. Walaubagaimanapun, zakat ke atas simpanan hanya dikenakan bermula daripada tahun kedua dalam simpanan. Jika dikenakan daripada tahun pertama perolehan, seolah-olah mengenakan zakat terhadap harta yang sama dua kali. Walaupun nampak dari sumber yang sama tetapi ia berbeza di dalam pengiraan haul. Secara mudahnya, selepas dibayar zakat pendapatan, jika lebihan pendapatan disimpan dan apabila cukup nisab serta haul ia wajib membayar zakat wang simpanan.

Q – Bagaimanakah mengira zakat wang simpanan?
Bergantung kepada jenis simpanan anda:

Simpanan Tetap : Apabila sesuatu simpanan tetap itu telah genap setahun dan jumlahnya melebihi daripada nisab, maka wajib dikeluarkan zakat sebanyak 2.5% daripada jumlah wang simpanan tersebut.

Simpanan Biasa : Ianya adalah dikira berdasarkan kepada jumlah baki terendah atau berakhir haul bagi simpanan tersebut.

Sekiranya seseorang individu mempunyai lebih dari satu akaun, maka beliau hendaklah mencampurkan semua baki terendah pada setiap akaun simpanan dan mendarabkannya dengan 2.5% bagi mendapatkan jumlah zakat simpanan beliau.

HUTANG/PINJAMAN

Q – Saya telah meminjamkan sejumlah wang kepada sahabat saya. Perlukan saya memasukkan membayar zakat ke atas pinjaman ini?

A- Pinjaman ini dianggap kurang sempurna milik, kerana ada kemungkinan bahawa peminjam tidak dapat membayar balik pinjaman. Justeru anda hanya perlu membayar zakat apabila telah dipulangkan kembali pinjaman tersebut. Anda hanya perlu membayar zakat untuk setahun wang tersebut dikembalikan.

AGIHAN

Q – Bolehkah saya memberikan zakat kepada ahli keluarga sendiri?

A- Zakat boleh diberikan kepada mana-mana salah satu daripada lapan asnaf zakat (fakir, miskin, amil, muallaf, riqab, gharim, fisabilillah, ibn sabil). Sekiranya ahli keluarga anda termasuk dalam salah satu daripada golongan ini, maka dia layak untuk menerima zakat anda. Malah lebih afdhal (utama) untuk mengutamakan ahli keluarga. Walaubagaimanapun sekiranya dia adalah merupakan tanggungan anda (contoh: ibu/isteri/anak) , maka anda wajib untuk menyara individu tersebut dalam apa jua keadaan, dan tidak boleh memberikan mereka  sumbangan daripada zakat anda.

Q – Bolehkah saya memberikan zakat terus kepada asnaf yang dibenarkan tanpa melalui Amil?

A- Anda boleh memberikan zakat terus kepada asnaf yang lain sekiranya anda mahu. Cuma elok diserahkan kepada amil yang dilantik pemerintah kerana biasanya agihan tersebut akan lebih terancang, seimbang, dan sekata, i.e; badan bertanggungjawab kebiasaannya akan dapat mengenalpasti keperluan yang paling mendesak dengan cara agihan yang paling efektif. Malah sekiranya anda berada di Malaysia dan membayar zakat atas pendapatan, jumlah yang anda bayar untuk zakat adalah merupakan rebate daripada bayaran cukai. Contohnya jika jumlah cukai tahunan anda adalah RM10,000 dan anda telah membayar zakat sebanyak RM3,000, maka anda hanya perlu membayar cukai pendapatan atas baki di atas sebanyak RM7,000. Kebanyakan individu lebih suka membayar zakat daripada cukai pendapatan.

LAIN –LAIN

Q – Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber haram/syubhah?

A- Tidak wajib zakat kerana tidak memenuhi syarat wajib zakat.. Sabda Rasulullah s.a.w: “ Allah tidak menerima sebarang sedekah daripada sumber yang haram” (Riwayat Muslim)

Q – Adakah kewajiban zakat pendapatan sesuatu yang baru di zaman mutakhir ini?
Berdasarkan catatan sejarah, zakat pendapatan telah dikenakan daripada zaman salafus-soleh lagi. Imam Malik dalam kitabnya Al-Muwatta mengatakan bahawa Khalifah Muawiyah mengutip zakat atas pendapatan. Begitu juga pada zaman pemerintahan khalifah Umar bin Abdul Aziz baginda telah pun melaksanakan zakat pendapatan ini ke atas gaji para tenteranya. Malah hampir serupa dengan sekarang, zakat pada zaman beliau dikutip sebelum gaji diserahkan kepada pekerja. Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa tentang zakat pendapatan ini sejak tahun 2002 lagi.

Secara analoginya, zakat pendapatan adalah hampir serupa dengan hasil tanaman yang dituai. Seandainya para petani diwajibkan mengeluarkan zakat mereka sebanyak lima hingga 10 peratus pada setiap kali musim menuai, maka bagaimanakah pula dengan professional yang memperolehi gaji yang kebiasannya lebih besar pada setiap bulan? Logik akal turut juga menyatakan bahawa zakat wajar dikenakan ke atas pendapatan itu.

Q – Saya tidak membayar zakat selama beberapa tahun. Bagaimanakah sepatutnya saya menunaikan tanggungjawab saya?

A- Bagi setiap tahun yang anda tidak membayar sebelum ini, anda perlu membayar 2.5% atas nilai harta dan pendapatan anda pada tahun-tahun tersebut sekarang, dan mintalah pengampunan daripada Allah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang atas kesilapan lampau. Jika anda kurang ingat atau tidak pasti berapakah jumlah harta dan pendapatan anda pada masa lampau, anda mesti membuat anggaran yang terbaik (best estimate). Contohnya sekarang Ramadhan 2009 dan anda tidak membayar zakat selama 5 tahun yang lepas. Anda perlu menganggar jumlah harta dan pendapatan anda sepanjang 5 tahun yang lepas, dan membayar 2.5% atas jumlah tersebut.

Q – Saya sering menyumbangkan duit saya bagi tujuan kebajikan banyak kali sepanjang tahun. Apakah saya masih perlu membayar zakat?

A- Zakat mesti dibayar dengan niat khusus untuk menunaikan zakat. Sekiranya seseorang individu menyumbangkan wang atas tujuan kebajikan sekalipun masih tidak boleh dikira sebagai zakat, kerana niat ketika diberikan sumbangan tersebut bukanlah untuk menunaikan zakat. Walaubagaimanapun, untuk tahun-tahun berikutnya anda boleh berniat untuk dikira sumbangan ini sebagai zakat.

Rujukan:

1. Fiqh Zakat karangan Sheikh Dr. Yusuf Qaradhawy

2. Laman web Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, Selangor, Kelantan, Terengganu, dan Pahang

3. FAQ – Muslim Hands Website

4. A Brief Guide to Zakat – Islamic Relief Publication

5. Zakat – www.almanhaj.or.id

6. Zakat Pendapatan – Bicaramuslim. com

7. Zakat in Malaysia – Haji Mohamed Dahan, Pusat Pungutan Zakat

Pengertian zakat dari sudut syarak adalah Sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t untuk diberikan kepada orang-oran...

Pengertian zakat dari sudut syarak adalah Sebahagian harta tertentu yang telah diwajibkan oleh Allah s.w.t untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam al-Quran atau ia juga boleh diertikan dengan kadar tertentu dari harta tertentu yang diberikan kepada golongan tertentu dan lafaz zakat juga digunakan terhadap bahagian tertentu yang dikeluarkan dari harta orang yang wajib mengeluarkan zakat.

Zakat Syar'ie kadang kala dinamakan sedekah di dalam bahasa al-Quran dan Hadis sebagaimana Firman Allah s.w.t: (خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَهُمْ) yang bermaksud: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. (Surah at-Taubah, Ayat: 103).

Manakala di dalam Hadis Sahih pula, Rasulullah s.a.w bersabda kepada Muaz ketika baginda mengutuskannya ke Yaman: (Beritahulah kepada mereka bahawa Allah s.w.t mewajibkan mereka mengeluarkan sedekah (zakat) dari harta mereka, sedekah tersebut diambil daripada orang yang kaya di kalangan mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin di kalangan mereka). Hadis ini dikeluarkan oleh jemaah ahli hadis.

Pengertian zakat dari sudut bahasa adalah keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat menge...

Pengertian zakat dari sudut bahasa adalah keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Sebab dinamakan zakat ialah kerana ia dapat mengembangkan harta yang telah dikeluarkan zakatnya dan menjauhkannya dari segala kerosakan sebagaimana Ibnu Taimiah berkata: Diri dan harta orang yang mengeluarkan zakat menjadi suci dan bersih serta hartanya berkembang secara maknawi.